skip to Main Content
Petak Sawah Kering Kontang
  • News

Kira-kira 20 pesawah membabitkan lebih 40 hektar tanah dari Parit 11, Titi Gantong, Bota, di sini, kini bakal kehilangan pendapatan sehingga 50 peratus jika masalah ketiadaan air ke petak sawah mereka tidak dibendung segera.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan terbabit mendapati, kawasan sawah berkenaan kini kering kontang sekali gus aktiviti untuk memulakan penanaman padi bagi musim ke dua 2011 terbantut berikutan masalah pengairan.

Justeru pesawah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah memantau segera masalah itu bagi membolehkan mereka memulakan penanaman padi.

Pesawah, Shamsuddin Shafie, 63, berkata, pesawah di situ terpaksa menunggu air yang sepatutnya masuk ke bendang untuk memulakan penanaman padi.

Menurutnya, pesawah sepatutnya memulakan penanaman padi pada 15 September lalu namun sehingga kini air masih lagi belum memasuki petak sawah sekali gus tidak dapat memulakan sebarang kerja.

“Pada masa ini, kami selalunya sudah memulakan taburan padi namun disebabkan masalah air yang tidak sampai ke kawasan ini menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama lagi hingga proses untuk membajak juga tidak dapat dibuat.

“Air di tali air utama juga tidak dapat masuk kerana tali air ini dipenuhi semak samun. Sedangkan sebelum ini bila air nak masuk, ada kerja-kerja pembersihan namun kali ini tiada pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Shamsuddin berkata, pihaknya khuatir jika air masih lagi tidak dimasukkan ke sawah, mereka akan menanggung kerugian besar.

“Kami hanya bergantung kepada sawah berkenaan sebagai pendapatan utama, jika masalah ini berlaku apa akan jadi kepada pendapatan kami nanti.

“Kawasan sawah padi tempat lain sudah memulakan taburan dan ada yang sudah mencecah 10 hari usia anak padi tetapi kami di sini masih lagi menunggu air dimasukkan ke sawah,” katanya.

Katanya, diharap JPS segera turun padang untuk melihat keadaan itu supaya pihaknya tidak perlu menanggung kerugian lebih banyak dan tidak perlu memberi alasan pam rosak, terpaksa menggunakan satu pam sahaja serta lain-lain alasan.

Seorang lagi pesawah, Shahruddin Hashim, 47, berkata, situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pada kebiasaannya air akan terus memasuki sawah apabila selesai menuai untuk musim penanaman.

“Tetapi kali ini keadaannya berbeza kerana sehingga kini air masih lagi tidak masuk ke sawah menyebabkan kerja kami tergendala dan kami hampir kehabisan modal untuk memulakan tanaman padi.

“Kita bimbang jika masalah ini berlarutan ia memberikan kesan kepada jumlah pendapatan kerana kawasan tanaman kami akan mengalami pelbagai masalah seperti ancaman makhluk perosak seperti tikus, cenangau, dan pembesaran pokok akan terbantut,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak menganggarkan hanya mampu mendapat purata 1 tan untuk 0.4 hektar berbanding 2 tan untuk keluasan yang sama bagi musim penanaman kali ini dan ia nyata bakal merugikan pesawah.


Berita asal

KODIAK ENGINEERING SDN BHD

Back To Top